suria

Dua Kejadian Libatkan Lif Di Flat Impian Baiduri

PETALING JAYA: Dua lagi kejadian menggemparkan penduduk melibatkan lif di Blok A Flat Impian Baiduri, Kampung Tunku di sini berlaku selepas peristiwa 30 September apabila kabel sebuah lif terputus sebelum terhempas dari tingkat enam menyebabkan empat orang cedera.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan pada kejadian hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Penduduk blok itu, Tambi Chik Hassan.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 6.30 pagi, dua lelaki yang hendak pergi bekerja merasakan lif yang dinaiki dari tingkat 16 turun dengan laju manakala pada kejadian kedua kira-kira pukul 10 pagi, lif yang dinaiki seorang penghuni tiba-tiba terpadam lampunya.

Ekoran insiden terbaru itu, Tambi Chik dan kesemua penghuni blok itu menggesa pihak pemaju agar mengambil tindakan segera terhadap semua lif yang bermasalah di blok tersebut.

Tambi Chik berkata, buat masa ini hanya satu lif daripada tiga lif di blok berkenaan yang berfungsi.

"Sebelum ini hanya dua lif sahaja yang boleh digunakan, manakala satu lif bomba dikatakan rosak dan menjadi tempat menyimpan barang sahaja...sekarang ni hanya satu lif yang boleh digunakan tetapi lif itu juga sudah menunjukkan tanda-tanda yang berbahaya," katanya.

Dalam kejadian 30 September lepas, kira-kira pukul 2 petang, empat mangsa iaitu Rahim Yunus dan isterinya Zarinah Jaafar bersama dua pelajar S. Kugahan, 14, dan Azizah Ermonchatib, 13, menaiki lif tersebut untuk pulang ke unit masing-masing.

Ketika sampai di tingkat enam, lif tersebut berhenti menyebabkan seorang dari mangsa iaitu S.Kugahan menekan butang tingkat lima berulang kali kerana butang seakan tidak berfungsi dan tiba-tiba lampu terpadam dan lif terjunam ke bawah.

Kesemua mereka diselamatkan 20 minit kemudian oleh penyenggara bangunan dan pasukan bomba. - BERNAMA

Artikel Lain