suria

C.C Liew Tokoh Wartawan Negara Kelapan...

C.C Liew menunjukkan sijil anugerah tertinggi dunia kewartawan yang dimenanginya pada Rabu. Foto The Star/Norafifi Ehsan
C.C Liew menunjukkan sijil anugerah tertinggi dunia kewartawan yang dimenanginya pada Rabu. Foto The Star/Norafifi Ehsan
C.C Liew menunjukkan sijil anugerah tertinggi dunia kewartawan yang dimenanginya pada Rabu. Foto The Star/Norafifi Ehsan

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Sin Chew Media Corporation Berhad, Datuk C.C Liew, dinobatkan selaku penerima Anugerah Tokoh Wartawan Negara Kelapan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Malaysian Press Institute-Petronas di sini, Rabu.

C.C Liew berjaya menarik perhatian panel hakim dengan mengambil kira beberapa kelebihan beliau dari segi kesetiaan, khidmat secara terus-menerus bersama akhbar Sin Chew sama ada ketika waktu susah mahupun senang dan kebijaksanaan menyelamatkan akhbar terbabit ketika berdepan keadaan genting.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kali terakhir Anugerah Tokoh Wartawan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1988 disampaikan ialah empat tahun lalu. Penerimanya ialah bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Pada pemilihan kali ini, Zainuddin adalah pengerusi Panel Hakim.

Tokoh kelahiran Mentakab, Pahang itu membawa pulang wang tunai RM30,000 tajaan Petronas berserta sijil.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Chen Chuan berkata, beliau tidak menjangka akan terpilih untuk menerima anugerah berprestij itu.

"Saya berasa gembira dan berbangga kerana diberi penghormatan untuk menerima anugerah tertinggi pada kali ini. Kemenangan itu adalah diluar jangkaan saya," katanya yang berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama 48 tahun.

Menurut Chen Chuan, beliau tidak menganggap anugerah itu sebagai pengiktirafan atas inisiatifnya secara perseorangan sebaliknya ia lebih kepada peranan yang dimainkan oleh Sin Chew Daily menerusi kewartawanan dalam pembangunan negara.

"Sebagai sebuah akhbar Malaysia, kami berfungsi untuk menyalurkan berita yang telus, ikhlas dan jujur. Jika kami dapat memberikan khidmat terbaik, kami mampu membina hubungan saling menghormati yang berkekalan dan membawa manfaat," jelasnya.

Mengulas mengenai nasihatnya kepada kumpulan media pada era moden ini, Chen Chuan menaruh harapan tinggi supaya mereka dapat meningkatkan mutu bidang kewartawanan di negara ini.

"Apa yang perlu saya katakan, wartawan pada hari ini perlu gigih berusaha dan jangan terlalu bimbang mengenai masa depan dunia kewartawanan. Selagi anda mematuhi garis panduan kewartawanan, tahap organisasi media yang mampan dan wartawan profesional boleh dikekalkan," tambahnya.

Artikel Lain