suria

Calon PMR Cedera, Bapa Maut Ditimpa Pokok

JITRA: Seorang pelajar yang sedang menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) cedera di bahagian muka manakala bapanya meninggal dunia akibat ditimpa pokok di sebatang jalan di Kampung Naga di sini petang Selasa.

Ketika kejadian, Nurul Awatif Ahmad, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman itu dan bapanya Ahmad Zakaria, 61, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kampung itu selepas Nurul Awatif selesai menduduki hari pertama peperiksaan itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Sawaludin Hamenudin berkata kejadian berlaku pada 5.30 petang dalam keadaan hujan dan angin kencang.

"Dua beranak itu sedang menunggang motosikal dan ketika sampai di tempat kejadian, sebatang pokok getah tumbang di atas mereka," katanya ketika dihubungi di sini Rabu.

Ahmad, yang cedera parah di bahagian kepala meningggal dunia di tempat kejadian manakala Nurul Awatif sedang dirawat di Hospital Jitra.

Ibu Nurul Awatif, Rokiah Abdullah, 40-an berkata suaminya keluar dari rumah dengan menunggang motosikal pada pukul 4.15 petang dan pada ketika itu angin sudah mula kencang serta hujan renyai-renyai.

"Walaupun cuaca agak buruk arwah tetap mahu mengambil Nurul Awatif," katanya.

Sekolah itu terletak lima kilometer dari rumah mereka.

Nurul Awatif, anak bongsu daripada empat beradik, dijangka terus menduduki peperiksaan PMR walaupun masih dirawat di hospital dan pada Rabu dia akan mengambil dua mata pelajaran.

Jenazah Ahmad dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kampung Naga di sini pada 11 malam Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain