suria

Polis Ambil Keterangan Ketua AMK

SHAH ALAM: Polis hari ini mengambil keterangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung kenyataannya yang didakwa mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Shamsul Iskandar dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi peguamnya yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff dan seorang peguam dari Majlis Peguam Fadiah Najwa Fiqri.

Shamsul Iskandar keluar semula bersama peguamnya kira-kira pukul 1 petang.

Yusmadi ketika ditemui media berkata Shamsul Iskandar memberikan kerjasama dan keterangan kepada pegawai penyiasat terbabit dan ia merupakan proses siasatan biasa.

"Pihak kami sentiasa bersedia sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah, dan kami akan terus memberikan kerjasama," katanya.

Shamsul Iskandar pula berkata polis sepatutnya mengeluarkan notis dan menjelaskan tujuan beliau dipanggil untuk keterangan mengikut akta berkaitan supaya tidak mengelirukan dirinya dan peguam.

Laporan sebelum ini menyebut, Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 Sept lepas mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis dalam pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga rakannya.

Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38; dan peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dilaporkan hilang 30 Ogos lepas sebelum ditemui mati dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain