suria

Perginya Seorang Penjawat Awam Yang Dedikasi & Sukar Dicari Ganti...

ALLAHYARHAM DATUK DR. RAMLI HASAN
ALLAHYARHAM DATUK DR. RAMLI HASAN
ALLAHYARHAM DATUK DR. RAMLI HASAN

BERITA mengenai kembalinya Datuk Dr Ramli Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi ke Rahmatullah pada awal pagi Selasa sangat-sangat mengejutkan penulis. Lebih menyedihkan penulis menerima berita mengenai kematian beliau setelah jenazah Allahyarham selamat dikebumikan. Penulis tidak sempat menziarahi jenazahnya buat kali terakhir.

Penulis akan sentiasa mengenang Allahyarham sebagai seorang ketua yang sering tersenyum, ceria dan mengembirakan.

Hanya doa dan kenangan manis penulis berkhidmat bersamanya di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sahaja yang mampu mengiringi memori penulis tatkala menerima berita sedih ini daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abdul Malek pada tengah hari Selasa.

Dilahirkan di Melaka pada 1 Mac 1958, Dr Ramli disebut-sebut bakal dilantik sebagai ketua setiausaha KPT yang baru menjelang hujung tahun ini apabila kontrak Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan tamat.

Sesungguhnya pada pandangan peribadi penulis, tidak ada yang lebih layak untuk menyandang jawatan tertinggi di kementerian berkenaan melainkan Allahyarham. Beliau memiliki segala-galanya - kelayakan akademik, pengalaman, integriti dan dedikasi. Beliau juga dihormati, disegani, rajin dan bertanggungjawab.

Allahyarham memperolehi ijazah pertamanya dalam bidang perancangan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1982.

Kemudian pada tahun 1992, Dr Ramli melanjutkan pengajiannya ke University of Manchester, UK dalam bidang pembangunan ekonomi dan seterusnya menamatkan pengajian sarjananya setahun selepas itu dalam bidang yang sama. Beliau adalah penerima biasiswa Komanwel.

Pada tahun 2005, Dr Ramli menamatkan pengajian ijazah kedoktoran falsafahnya dalam bidang ekonomi dari University of Hull, UK.

Allahyarham memulakan pengalaman kerjanya sebagai pegawai di Seksyen Pertanian, Unit Perancang Ekonomi dari tahun 1984 hingga 1991 sebelum berpindah ke Seksyen Tenaga pada tahun 1994.

Dari tahun 1995 hingga 2001, beliau berpindah ke Bahagian Pelaburan Luar Unit Perancang Ekonomi sebelum dilantik sebagai ketua Pusat Pengurusan Perniagaan dan Pembangunan Ekonomi, INTAN pada tahun 2005.

Kerjayanya di KPT bermula pada 16 Mei 2007 apabila dilantik sebagai setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan. Genap setahun selepas itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua setiausaha kementerian (pembangunan). Beliau kekal di jawatan itu sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi Selasa (5 Okt).

Sepanjang perkhidmatan penulis di kementerian berkenaan dari awal tahun 2008 sebagai setiausaha akhbar kepada menteri sehinggalah penulis melepaskan jawatan pada Ogos 2009, penulis berpeluang untuk berkhidmat di bawah Allahyarham dengan menganggotai sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Allahyarham.

Walaupun penulis hanyalah seorang pegawai kontrak dan mempunyai pengalaman yang terhad dalam perkhidmatan awam dan menghabiskan sebahagian besar kerjaya penulis sebagai wartawan dan pengendali media tetapi Allahyarham sentiasa menunjukkan hormatnya kepada penulis malah merendah diri dalam beberapa hal sedangkan beliau adalah penjawat awam yang kedua tertinggi di kementerian berkenaan.

Allahyarham tidak selalu menunjukkan pandai sebaliknya sentiasa merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam bidang masing-masing sebelum membuat keputusan muktamad. Beliau sentiasa memberi kerjasama dan bantuan kepada kakitangan pejabat menteri walaupun pada hakikinya kedudukan kami semua adalah jauh lebih rendah daripadanya tetapi tidak pernah sekali pun Allahyarham menghampakan sebarang memo atau kertas yang dirujukkan kepada beliau.

Pendek kata, beliau adalah seorang pegawai awam yang wajar dicontohi dan diteladani malah seandainya beliau sempat dilantik ke jawatan ketua setiausaha kementerian, penulis tanpa ragu-ragu percaya dan penuh yakin beliau akan menjadi seorang pemimpin yang cemerlang lagi disegani dan mampu mengemudi KPT sebagaimana ketua setiausaha yang terdahulu daripadanya.

Takdir menentukan pada tanggal 5 Oktober 2010, tepat jam 4 pagi, pegawai perubatan Hospital Selayang mengesahkan pemergiannya meninggalkan dunia yang fana ini. Beliau meninggal dunia akibat sakit dada - sesuatu yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun termasuk para pegawainya. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Kasiah Tahar dan lima orang anak.

Kehilangan beliau sukar dicari ganti tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Al-Fatihah...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain