suria

Pemilihan Ku Li Bukan Penghinaan

KUALA LUMPUR: Pemilihan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah kempen dan calon pilihan raya BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukan untuk merendah-rendahkan darjat ahli politik itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pemilihan Tengku Razaleigh adalah berdasarkan kepercayaan dan penghormatan terhadap Ahli Parlimen Gua Musang itu yang mendapat kepercayaan Umno dan rakyat.

"Tidak timbul soal kita ketandusan pemimpin dan terpaksa memilih beliau sebagai pengarah kempen dan calon kerana kita percayakan pada kebolehan Tengku untuk menakluki Galas.

"Ia bukan satu penghinaan kepada beliau tetapi ia adalah satu penghormatan kepada seorang wakil rakyat yang mendapat kepercayaan daripada rakyat dan parti untuk mewakili mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan di sini, Isnin.

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini menyifatkan cadangan untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai calon adalah tidak wajar.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan itu hanya alasan sebagai cara untuk menghentam Umno.

Katanya lagi, Pas sendiri masih meletakkan Nik Aziz sebagai calon menteri besar dan untuk mempersoalkan tindakan Umno adalah tidak wajar.

"Sejak bila beliau mengambil berat tentang Tengku Razaleigh? Sebelum ini menghentam macam-macam mengenai beliau," ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Australia kini sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur", Nazri berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dilakukan.

Beliau berkata, sebagai ahli politik mempunyai pandangan berbeza tidak menjadi kesalahan tetapi untuk menyerang seseorang dengan kata-kata kesat adalah tidak patut berlaku.

"Saya sendiri sering berbeza pendapat dengan Tun Mahathir tetapi saya tidak pernah menggunakan kata-kata kesat untuk menghentam beliau.

"Walaupun Azmin kawan saya, tetapi tindakannya itu tidak boleh diterima kerana sebagai orang timur yang penuh dengan adab sopan budaya itu perlu dijaga," katanya.

Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR cabang Gombak semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain