suria

Kerajaan Pertimbang Ambil Tindakan Undang-Undang Jika Isu Loji Air Tidak Selesai

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) untuk bekalan air di Lembah Klang, masih tidak dapat diselesaikan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata ini kerana pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat itu sepatutnya bermula Ogos lepas.

"Pembinaan sepatutnya bermula pada Ogos, namun sebelum ini saya berkata bahawa kami mahu Selangor selesa dengan keadaan.

"Namun sebaliknya, kami juga berunding dengan penasihat undnag-undang mengenai pilihan yang ada," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri kementerian itu di Suruhanjaya Tenaga, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status projek Langat 2 yang sepatutnya bermula Ogos lepas.

Pada 5 Ogos lepas Chin memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada kerajaan negeri Selangor untuk memberi persetujuan terhadap pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk bekalan di Lembah Klang.

Katanya loji rawatan air itu penting disegerakan kerana ia perlu siap serentak dengan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor pada 2014, bagi merawat bekalan air mentah dari Sungai Semantan, Pahang.

Projek yang menelan belanja RM8.65 bilion tersebut telah mendapat persetujuan kerajaan negeri Selangor sewaktu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN), namun proses pembangunan seterusnya terbantut selepas kerajaan negeri itu ditadbir oleh pakatan pembangkang.

Langat 2 bertujuan menampung keperluan air bersih di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025.

Pada 31 Ogos, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri itu akan meneruskan projek Langat 2 selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan.

Chin berkata tindakan undang-undang itu adalah berdasarkan kepada kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air.

Beliau bagaimanapun berkata kementerian itu berharap tindakan itu tidak perlu dilakukan.

"Sebenarnya, kita perlu selaras terowong dengan Langat 2 iaitu loji rawatan air, tetapi kita memang ada opsyen yang tidak perlu disebut pada masa sekarang.

"Kita memang ada opsyen. Kita sudah sediakan kaedah untuk memperbaiki situasi ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain