suria

Jentera P/Raya MCA Siap Sedia Hadapi P/Raya Kecil Dun Galas

PORT DICKSON: MCA telah bersiap sedia untuk membantu Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan, kata naib presiden parti itu Datuk Wira Chor Chee Heung.

Katanya MCA akan menumpukan kempennya di kawasan majoriti kaum Cina terutama di kampung baru.

"Saya difahamkan MCA negeri Kelantan telah mula menggerakkan jentera pilihan rayanya. Saya sendiri akan turun ke DUN Galas untuk berkempen. Terdapat tiga buah kampung baru Cina di DUN Galas.

"Kami akan membantu calon BN, kami akan memberitahu pengundi Cina mengapa mereka perlu mengundi BN. Masyarakat Cina terutamanya di peringkat akar umbi perlu diberitahu mengapa mereka perlu menolak Pas," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pemulihan projek perumahan Taman Anggerik, Teluk Kemang dekat sini hari ini.

Chor yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata MCA akan berusaha memastikan calon BN dapat merampas kembali kerusi DUN Galas daripada Pas.

Katanya terdapat 22 peratus pengundi Cina di DUN Galas dan ini merupakan peratusan yang besar.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas kerana barah usus di Kuala Lumpur pada Isnin lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain