suria

IPT Guna Segala Sumber Tarik Profesional

SERDANG: Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) diminta menggunakan segala sumber mereka bagi menarik minat profesional tempatan di perantauan kembali berkhidmat di tanah air.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain itu mereka juga perlu berusaha membuat tawaran menarik kepada rakyat asing yang berkemahiran tinggi berkhidmat di negara ini.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan yang akan memulakan operasi Talent Corporation (Talent Corp) yang bertujuan menarik minat rakyat Malaysia berkemahiran tinggi di luar negara untuk pulang berkhidmat di Malaysia tahun depan.

"Adakah mereka mampu mendapatkan anak rantau berkemahiran tinggi atau mengenalpasti bakat serta bijak pandai dari luar negara untuk diserapkan sebagai tenaga akademik di universiti negara ini?

"Sama ada dapat atau tidak bergantung kepada rangkaian (perhubungan) universiti tersebut. Itu yang kita tetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear, Universiti Putra Malaysia, Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap kepada kira-kira 200 pelajar Malaysia di Brussels pada Ahad malam memberitahu bahawa Talent Corp akan memulakan operasinya Januari ini.

Entiti itu ditubuhkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk menarik minat anak rantau berkemahiran tinggi kembali ke tanah air selain mengelakkan golongan profesional baru berhijrah ke luar negara.

Mengulas mengenai Talent Corp, Mohamed Khaled memberitahu, kementerian turut sedang mengkaji kaedah untuk menarik dan mengekalkan pakar-pakar dalam sektor pengajian tinggi.

Katanya, buat masa ini, pihaknya meletakkan sasaran bagi universiti penyelidikan memiliki sekurang-kurangnya 20 peratus tenaga akademik asing manakala universiti lain sebanyak 15 peratus.

"Kita pun mendapatkan bakat dari luar negara. Ini adalah satu keperluan kerana pensyarah yang bagus akan berkongsi ilmu yang bagus dengan pelajar-pelajar kita.

"Tenaga pensyarah yang bagus juga akan membawa rangkaian mereka. Mereka adalah orang yang hebat tulis dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, hasil penerbitan pensyarah asing turut dapat menyumbang kepada kedudukan universiti tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain