suria

Gerakan: Retaknya Hubungan Guru Dan Anak Didik

KUALA LUMPUR: Sejak tiga setengah tahun lepas Tun Dr Lim Keng Yaik sentiasa memerhati bagaimana anak didiknya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menerajui Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Dari semasa ke semasa, Lim selaku penasihat parti yang menyerahkan kepimpinan Gerakan kepada Koh, telah menegur kepimpinannya secara tertutup berhubung pelbagai isu.

Mereka yang rapat dengan Lim dan Koh menganggap kedua-duanya seperti anak dan bapa tetapi sejak akhir-akhir ini, rasa tidak puas hati Lim terhadap kepimpinan Koh bukan lagi satu rahsia.

Semalam Lim mengumumkan keputusannya untuk melepaskan jawatan penasihat Gerakan kerana kecewa dengan Koh yang tidak mahu mendengar tegurannya.

Sumber parti berkata bahawa sejak beberapa bulan lepas, semakin ramai anggota Gerakan menyuarakan rasa kecewa mereka terhadap kepimpinan Koh.

Ada juga yang menyalahkan Lim kerana memilih Koh sebagai pengganti beliau.

"Beberapa anggota jawatankuasa pusat memberitahu KY (Keng Yaik) bahawa mereka amat tidak puas hati dengan Koh," kata seorang anggota parti.

Malah, katanya, aduan mengenai kepimpinan Koh bukan setakat isu parti tetapi melibatkan juga perkara seperti pengurusan Menara PGRM, tempat letak kereta, Universiti Terbuka Wawasan dan cabang pengurusan hartanah Gerakan, Cempaka Sdn Bhd.

Lim dikatakan tidak berpuas hati kerana kepimpinan parti itu gagal mendapatkan persetujuan pihak berkuasa supaya jalan antara Menara PGRM 1 dan PGRM 2 dijadikan laluan sehala supaya lokasi itu menjadi lebih menarik.

Seorang anggota jawatankuasa pusat (CC) yang enggan namanya disiarkan berkata Koh gagal bertindak apabila Gerakan kehilangan hasil daripada pendapatan tempat letak kereta yang berdekatan.

"Ramai anggota parti marah kerana Gerakan tidak dapat mengawal asetnya sendiri," kata anggota CC itu.

Lim, yang ditanya mengenai perkara itu, mengakui ia adalah antara isu yang membuatkan beliau kurang senang.

Namun beliau enggan mengulas lanjut.

Lim berkata hasrat beliau untuk melepaskan jawatan sebagai penasihat Gerakan hanya diberitahu kepada anaknya Lim Si Pin yang juga Ketua Pemuda Gerakan semalam sebelum beliau keluar rumah untuk menghadiri satu sidang akhbar.

"Saya tak berbincang dengan Dr Koh mengenai hasrat saya ini," katanya.

Lim berkata bahawa kali terakhir beliau mengadakan perbincangan dengan Koh ialah dua minggu lepas tetapi beliau enggan menjelaskan butirannya.

Katanya beliau mendapat maklumat bahawa beberapa pemimpin di Pulau Pinang dan Perak sedang berusaha mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menjatuhkan pemimpin-pemimpin yang rapat dengan Koh.

EGM parti itu di Pulau Pinang pada Ahad ini diadakan berikutan kegagalan kepimpinan parti memujuk sekumpulan anggota menarik balik hasrat membentangkan undi tidak percaya terhadap pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nam.

Lim berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil beberapa lagi langkah drastik jika terdapat EGM di negeri-negeri lain.

"Jangan lupa bahawa saya mendapat sokongan ramai anggota seumur hidup dan pengasas parti. Banyak tindakan boleh diambil," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain