suria

Dua Warga India Diberkas Cuba Seludup Masuk Dadah RM1.6 Juta

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki warga negara India dalam operasi berasingan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk 10 kilogram dadah bernilai RM1.6 juta ke negara ini masing-masingnnya melalui KLIA dan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata dalam tangkapan pertama pada Khamis lepas, suspek yang berusia 41 tahun ditahan di LCCT bersama 4.5 kilogram dadah dipercayai ketamin bernilai RM135,000 yang disorok di bahagian belakang sembilan bingkai gambar yang dibawa dalam bagasinya.

Beliau berkata suspek yang tiba dari Chennai, India, menggunakan taktik baru iaitu transit di KLIA sebelum ke Tawau, Sabah.

"Suspek ditahan ketika sampai dari Sabah di LCCT kira-kira pukul 1.40 petang. Kita percaya mereka menggunakan modus operandi baru iaitu transit di KLIA sebelum ke negeri lain dan masuk ke negara ini melalui LCCT," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Nordin berkata lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit itu pernah masuk ke negara ini sebanyak 10 kali dan polis masih menyiasat kemungkinan dia turut menyeludup dadah ke Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

Tangkapan kedua pula membabitkan seorang suspek yang tiba dari Bangalore, India, pada 8 pagi Jumaat lepas di balai ketibaan tingkat tiga KLIA.

Nordin berkata suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan ketika sedang menolak troli bagasinya dan pemeriksaan menemui 5.8 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.45 juta.

"Dadah berkenaan dibungkus dalam 28 paket kecil dan disorok di bahagian belakang kotak barangan yang dibawa suspek," katanya.

Nordin berkata suspek berusia 28 tahun itu bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat dan pernah memasuki negara ini sebanyak enam kali.

Beliau berkata kedua-dua suspek masing-masing direman sehingga 7 dan 9 Okt ini.

Siasatan adalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain