suria

Perbadanan Bakat Beroperasi Januari - Najib

BRUSSELS: Perbadanan Bakat akan mula beroperasi Januari tahun depan bagi menarik golongan profesional Malaysia supaya kembali ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbadanan itu akan mencari mereka ini di luar negara dan berbincang mengenai kemungkinan mereka berkhidmat di Malaysia.

"Sebelum ini kita menunggu mereka menghubungi kita tetapi kali ini kita akan mencari mereka.

"Kita ingin tahu apa yang mereka perlukan untuk pulang ke tanah air dan pada masa yang sama kita akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan menawarkan gaji yang sejajar dengan gaji di peringkat global," katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam Ahad.

Najib, yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (Asem), sebelum itu menganjurkan satu jamuan Aidilfitri untuk masyarakat Malaysia di Belgium dan Luxembourg.

Perdana Menteri berkata, setakat ini pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan telah berjaya menyuntik keyakinan di kalangan rakyat Malaysia di luar negara yang kini melihat peluangnya untuk mereka kembali dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Mereka melihat bahawa ada peluang yang lebih terbuka untuk mereka memainkan peranan. Saya percaya kalau kita dapat melakukan program kita dalam masa terdekat ini, tahap optimisme mereka akan bertambah lagi sebab pada masa ini, mereka suka kepada rancangan kita dan strategi baru kita," katanya.

Beliau berkata program yang berkesan dan cepat akan mewujudkan momentum untuk rakyat Malaysia di luar negara untuk menimbang supaya kembali.

"Saya fikir tarikannya ialah betapa cepat kita boleh melaksana pelbagai projek dan peluang perniagaan yang telah kita kenal pasti, hanya dengan itu barulah kita boleh menarik rakyat Malaysia untuk pulang," kata beliau.

Dalam ucapannya di majis itu, Najib memberitahu kira-kira 250 rakyat Malaysia bahawa Malaysia sedang melalui masa yang mengujakan.

"Kita sedang membelok selekoh dan memasuki laluan terakhir ke arah tahun pengiraan... untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai konsep 1Malaysia dengan berkata ia bukan berupa slogan tetapi falsafah panduan untuk Malaysia dalam membentuk polisi dan tindakan.

"Ia tidak bermakna segalanya akan sempurna, atau apabila kita sudah mempunyai konsep, setiap orang akan mengikutinya. Kamu akan mempunyai keadaan yang mana segelintir orang akan membuat kenyataan mengenai sesetengah perkara.

"Tetapi ini tidak bermakna bahawa ia berupa satu kegagalan. Ia bermakna kita sangat-sangat memerlukan konsep 1Malaysia," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain