suria

Kenaikan Tarif Air Di Kedah Terlalu Tinggi - Ketua Pemuda Gerakan

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah tidak sepatutnya menaikkan tarif air terlalu tinggi sehingga 27 peratus kerana ia begitu membebankan rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata proses pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) sejak awal tahun lalu oleh kerajaan negeri, sudah dijangka memberi impak kepada rakyat Kedah.

"Saya faham semua kos telah meningkat, tetapi kenaikan itu sangat tinggi. Jika dinaikkan 10 peratus sahaja sudah memadai untuk menampung semua kos yang dikenakan," katanya kepada pemberita Isnin.

Beliau berkata penafian kerajaan negeri semasa pengkorporatan syarikat itu awal tahun lalu untuk menaikkan tarif air, adalah sandiwara semata-mata.

"Sekiranya Pakatan Rakyat prihatin terhadap rakyat Kedah, dan ikhlas terhadap janji-janji dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, mereka harus mengambil langkah dengan serta-merta, sekurang-kurangnya menurunkan kenaikan tarif air daripada 27 peratus kepada 10 peratus," katanya.

Tan berkata kerajaan negeri tidak boleh menaikkan tarif itu hanya kerana 17 tahun ia tidak dinaikkan iaitu sejak 1993, kerana mereka baru memerintah Kedah selama dua tahun.

"Mereka (kerajaan Negeri) tidak boleh mengambil kira semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Kedah. Itu hak kerajaan dahulu untuk tidak menaikkan tarif air kerana BN sangat prihatin dan tidak mahu rakyat terbeban," katanya.

Baru-baru ini, ketua pegawai eksekutif Sada Datuk Adzmi Din mengumumkan tarif air di Kedah akan dinaikkan mulai Jumaat lepas bagi menampung kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air yang semakin meningkat.

Adzmi berkata tarif air yang diguna pakai sekarang merupakan tarif dan pelarasan yang berkuatkuasa 1 Mac 1993, dan sepanjang 17 tahun itu, semakan semula tarif air di Kedah tidak pernah dilakukan.

Katanya, secara keseluruhan, purata kenaikan caj kepada pengguna domestik adalah sekitar 27 peratus, dan nilainya antara RM3 hingga RM8 melibatkan 457,707 akaun sehingga Ogos tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain