suria

Empat Keluarga Kemboja Tinggal Sehelai Sepinggang Selepas Rumah Dijilat Api

KUANTAN: Empat keluarga warga Kemboja tinggal sehelai sepinggang selepas satu deretan tiga rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Chendering di sini, Isnin.

Satu lagi unit rumah dalam deretan itu mengalami kerosakan teruk apabila bahagian dindingnya hangus dalam kejadian pada kira-kira 8.45 pagi itu.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata tiga jentera bomba bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 9.10 pagi.

Beliau berkata bomba berjaya mengawal kebakaran dan mengelak api daripada merebak ke 11 lagi rumah berhampiran kira-kira setengah jam kemudian.

Katanya nilai kerugian dan punca kejadian masih disiasat.

Seorang penghuni Asiah Ali, 26, semasa menceritakan detik-detik cemas dalam kejadian itu berkata, beliau panik dan terus berlari keluar rumah apabila menyedari api marak dengan pantas memusnahkan dinding rumah.

"Saya terkejut dan terus meninggalkan rumah kerana panik, kemudian baru jiran-jiran tolong selamatkan tiga anak saya dan suami di dalam rumah," katanya ketika ditemui di sini, Isnin.

Katanya ketika kejadian suaminya Abdul Rahman Sulaiman, 29, dan tiga anak mereka sedang tidur.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Panching, Zaili Besar berkata, kesemua mangsa, yang membabitkan 22 orang termasuk kanak-kanak, akan ditempatkan di balai raya kampung itu dan diberikan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan pakaian.

"Walaupun mereka bukan warganegara Malaysia, kami akan tetap beri bantuan atas dasar kemanusiaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain