suria

Curi Arak RM1.2 Juta: Sembilan Lelaki Dihukum Penjara 10 Tahun, Sebat

SHAH ALAM: Sembilan lelaki dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah merompak minuman keras bernikai RM1.2 juta di sebuah gudang berdekatan Pelabuhan Klang, dekat sini, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di sini, Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Murugan, 29, V. Anbalagan, 40, V.Prakas, 31, G.Ravichandran, 32, S.Mogan, 39, S.Paramasivam, 36, M.Anpalagan, 35, P.Suresh, 31, dan Tin Myo Minn, 31, dari Myammar.

Asmadi yang mendengar keterangan 11 saksi pembelaan dan sembilan saksi pembelaan memerintahkan supaya tempoh hukuman bermula daripada tarikh semua tertuduh ditangkap.

Pada penghakimannya, beliau berkata pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata, lantas gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

“Saya juga tidak perlu memberi nasihat. Semua kamu sudah besar panjang. Semua sudah tahu akibat daripada perbuatan masing-masing. Kalau budak, bolehlah saya beri nasihat,” kata Asmadi dalam penghakimannya.

Asmabi seterusnya membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksaan hukuman memandangkan mereka berhasrat untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan itu, Asmadi menetapkan tertuduh membayar jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan mereka juga diperintahkan melapor diri di balai polis berdekatan pada Ahad pertama setiap bulan.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama empat lagi rakan subahat yang masih bebas telah merompak dan melarikan minuman keras pelbagai jenama termasuk Martel dan Chivas bernilai RM1,246,171.76 dengan bersenjatakan pisau dan kapak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 1.30 dan 4.30 pagi, 24 Oktober 2005 di Gudang Jasa Kita SVC Sdn Bhd, Lot 5, Kawasan 20, Solok Sultan Ismail, Pelabuhan Klang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Yasser Mohd Nasri manakala barisan pembelaan dibarisi peguam-peguam Avtar Singh Halival, S.K Pari dan Gerard Lazarus manakala Mogan memilih untuk berdiam diri.

Barisan pembelaan memohon supaya hukuman rendah dikenakan terhadap tertuduh yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Muhamad Yasser memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Kesalahan juga dilakukan di kawasan berhampiran Pelabuhan Klang, yang merupakan pelabuhan utama yang menjadi penyumbang kepada kemasukan pelaburan kepada negara,” katanya.

Artikel Lain