suria

Curi Air: Syarikat Pembinaan Didenda RM10,000

SEREMBAN: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin kerana kesalahan mencuri air milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) pada hujung tahun lepas.

Hakim Mazilah Manap menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat Purcon (M) Sdn Bhd yang diwakili pengurus projeknya Chan Chee Wai, mengaku melakukan penyambungan paip air tanpa kelulusan SAINS di Lot 3108 dan 3109, Batu 2, Port Dickson di sini pada 14 Dis 2009.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat yang dihadapkan ke mahkamah sama atas tuduhan serupa, mengaku tidak bersalah.

Syarikat memproses makanan iaitu Cream Resource Sdn Bhd yang diwakili pengarah urusannya Abd Rahim Hashim, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 17569, Jalan Nilai 3/29, Kawasan Perindustrian Nilai 3, pada 16 Nov 2009.

Mazilah menetapkan 3 Nov depan bagi menyebut semula kes itu.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa SAINS Shariful Azman Mustapa Yahaya manakala kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain