suria

SPRM Tahan Dua Pegawai Imigresen Dan Seorang Pengantara Di Jeti Port Dickson

SEREMBAN: Dua pegawai Imigresen dan seorang orang awam ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Bernama difahamkan pegawai Imigresen berusia dalam lingkungan 40an dan 50an bersama seorang awam yang bertindak sebagai pengantara dengan tekong feri dari Indonesia ditahan di jeti Port Dickson pada pukul 7 malam, Rabu lepas.

Hasil intipan selama dua tahun oleh SPRM mendapati dua pegawai Imigresen dan pengantara tersebut telah melakukan kegiatan rasuah sejak empat tahun lalu.

Difahamkan pihak SPRM juga menemui wang rasuah sebanyak RM26,000 di pejabat salah seorang pegawai terbabit.

Pegawai tersebut difahamkan mengenakan bayaran sebanyak RM5,600 bagi setiap feri yang membawa 70 orang PATI dari Dumai, Indonesia, yang ingin masuk ke negara ini.

Setiap minggu terdapat tiga buah feri dari Dumai akan menurunkan PATI di jeti Port Dickson yang membabitkan dua operator perkhidmatan feri berlainan.

Difahamkan juga pegawai berkenaan menerima RM33,600 suapan daripada tekong feri setiap minggu dan kegiatan itu dipercayai sudah berjalan selama empat tahun.

Pegawai terbabit dipercayai mengambil wang rasuah setiap minggu di Dumai bagi mengaburi mata pihak berkuasa sejak tiga tahun lalu.

Namun pada tahun ini, mereka mengutip wang rasuah daripada tekong di negara ini dan jika tekong gagal membayar wang tersebut, mereka tidak dibenarkan menurunkan penumpang.

Difahamkan kedua-dua pegawai dan orang awam itu kini ditahan reman di pejabat SPRM Negeri di sini.

Pihak SPRM sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sama ada pengawai Imigresen mahupun kakitangan yang lain turut terlibat sama dalam kegiatan tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri, Hishamuddin Hashim, yang dihubungi di sini, mengesahkan tangkapan tiga suspek berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain