suria

Pelajar Langgar Anggota Polis Didakwa Di Mahkamah

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ahad, terhadap tuduhan melanggar seorang anggota polis pada bulan lepas.

Pelajar berumur 15 tahun itu dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Konstabel Arizan Mohamad dalam sekatan jalan raya di Jalan Masjid Zainal Abidin, di sini, kira-kira 11.45 malam, 15 September lalu.

Prosiding pendakwaan terhadap pelajar itu dijalankan secara tertutup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Aznika Mohd Anas membenarkan pelajar itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Insp Miky Dunstan Muda.

Dalam kejadian berkenaan, anggota polis itu patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri selain menerima 10 jahitan di kepala. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain