suria

Organisasi Baru Diwujud Bagi Urus Estet Padi

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merangka penubuhan sebuah organisasi baru untuk menguruskan estet padi di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata organisasi baru itu yang dijangka menjadi kenyataan pada pertengahan tahun depan akan menjadi sebahagian komponen MADA.

Dengan penubuhan organisasi baru itu, MADA juga akan distruktur semula supaya peranan kedua-duanya tidak bertindih, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya MADA di ibu pejabat lembaga itu di sini, Ahad.

Beliau berkata perancangan organisasi itu masih di peringkat kajian dalam makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

"Organisasi baru ini akan bertindak sebagai badan yang mengintegrasi semua perkara berkaitan estet padi memandangkan industri ini sangat besar dan bernilai berbilion ringgit setahun.

"Kita mahu industri ini diurus secara sisematik dan menguntungkan bermula dari benih, membajak, meracun, menuai, mengilang dan memasarkan produk akhir," kata Mahdzir.

Beliau berkata penubuhan organisasi itu adalah wajar kerana MADA merupakan satu dari 12 bidang di bawah tajuk pertanian yang disasarkan kerajaan untuk membuat transformasi pertanian dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Mengenai projek tebatan banjir, beliau berkata MADA mengemukakan cadangan kepada kementerian supaya keutamaan diberikan untuk Sungai Kedah di Alor Setar dan peringkat kedua di Sungai Limau dalam daerah Yan serta dan Pendang.

Projek tersebut menelan kos lebih RM500 juta akan bermula tahun depan. Setiap peringkat dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Wira Mohd Johari Baharom dan Pengurus Besar MADA Datuk Abdul Rahim Salleh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain