suria

Krisis DAP Perak: Ngeh, Nga Tutup Mulut

IPOH: Ketika Timbalan Pengerusi DAP Perak M.Kulasegaran kini bercuti di Nepal, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming mengambil pendekatan tutup mulut berhubung pertelingkahan antara mereka dengan Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ahad, Ngeh berkata, mereka tidak akan menjawab sebarang pertanyaan berhubung perkara tersebut kerana mendapat arahan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

"Kami akan menanti kepulangan Kulasegaran dari Nepal dan Guan Eng bakal mengadakan mesyuarat, yang juga akan dihadiri Lim Kit Siang (selaku penasihat DAP)," katanya.

Kulasegaran kini sedang bercuti di Nepal untuk mencari ketenangan selepas menggertak untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi parti.

Ngeh dan Nga dikatakan memegang "kuasa sebenar" DAP di Perak, sehingga mengetepikan ahli-ahli lain untuk mendapatkan jawatan tinggi dalam parti serta kerajaan negeri terdahulu yang dibentuk menerusi Pakatan Rakyat melibatkan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kit Siang telah menasihatkan Kulasegaran supaya mempertimbangkan gertakannya untuk meletakkan jawatannya itu semasa berada di luar negara.

Bagaimanapun, Kulasegaran menulis dalam laman Twitter, Sabtu, mencabar berdebat dengan Ngeh tentang polisi-polisi yang dilaksanakan sepupu terbabit semasa pemerintahan Pakatan selama 11 bulan di Perak.

"Saya bersedia mencabarnya isu demi isu," kata Kulasegaran sambil menambah beliau tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Ngeh.

Seorang ahli jawatankuasa DAP negeri yang hadir semasa 'perbincangan damai' pada Jumaat, mendakwa Ngeh tidak berniat untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu parti itu.

"Hasratnya adalah untuk menghapuskan kerjaya politik ahli-ahli terbabit yang tidak sebulu dengan mereka," katanya yang menuduh Ngeh dan Nga merupakan punca utama kepada segala masalah parti.

Sementara itu, seorang pembantu Kulasegaran berkata, Ngeh tidak menunjukkan tanda ingin berdamai dengan rakannya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain