suria

Konstabel Cedera Apabila Terjatuh Selepas Motosikal Ditendang Penjenayah

IPOH: Seorang anggota polis cedera selepas motosikal yang ditunggangnya jatuh ditendang oleh seorang penjenayah di Kamunting, Taiping, kira-kira 95 km dari sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata kejadian berlaku pada pukul 3.48 petang semasa Konstabel Norazlan Shah Norhak, 21, yang bertugas di Balai Polis Kamunting bersama rakannya sedang mengejar sebuah motosikal yang dinaiki dua suspek.

Beliau berkata Norazlan bersama rakannya itu pada mulanya diarah ke Kampung Tersusun Bukit Jana, Kamunting bagi menyiasat dua suspek yang disyaki sedang mencuri penutup pili bomba.

"Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika dihubungi Ahad.

Menurutnya salah seorang suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menendang motosikal yang ditunggang Norazlan menyebabkan anggota polis itu terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian muka.

Katanya rakan Norazlan bersama beberapa penduduk kampung berhampiran kemudian membantu untuk membawa Norazlan yang mengalami kecederaan di bahagian muka, ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Zulkifli berkata polis sedang berusaha memburu dua suspek kes itu.

Katanya beliau amat berbangga dengan keberanian dan sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh anggota polis dalam kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain