suria

Geng Ah Fei Dicekup, Polis Yakin Selesai 20 Kes Pecah Rumah Di Ampang

KUALA LUMPUR: Hampir 20 kes pecah rumah yang dilapor di Ampang berjaya diselesaikan dengan penangkapan 'Geng Ah Fei' yang disyaki terlibat melakukan jenayah itu di sekitar daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner (ACP) Abdul Jalil Hassan berkata kesemua suspek, iaitu dua lelaki tempatan dan seorang wanita rakyat Filipina berumur antara 32 dan 36 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pada pukul 6 pagi di Hotel De Palma dekat sini, Khamis lepas.

"Ah Fei merupakan seorang daripada suspek lelaki dan merupakan ketua bagi kumpulan itu.

"Serbuan dibuat ekoran polis menerima aduan daripada seorang pengadu yang mengatakan rumahnya di Taman Pandan Ria disini dipecah masuk pada 30 September menyebabkan pengadu kerugian RM6,000," katanya kepada pemberita di pejabatnya Ahad.

Beliau berkata hasil serbuan itu polis merampas pelbagai barangan berharga termasuk enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba, dua kamera digital dan alatan pecah rumah.

"Suspek-suspek ini telah mengaku barang-barang yang dirampas adalah hasil kegiatan pecah rumah yang mereka lakukan sejak enam bulan lepas.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai lebih lima rekod jenayah lampau yang turut membabitkan kes pecah rumah," kata Abdul Jalil.

Sementara itu dalam kes berlainan, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat berumur 33 tahun dalam operasi 'Ops Tapis' kerana memilik dadah.

Abdul Jalil berkata polis menemui 25 paket dadah jenis heroin seberat 57 gram yang dianggar bernilai RM2,500 pada badan suspek dalam operasi pada pukul 6.30 petang itu.

"Susulan penemuan dadah itu, polis melakukan pemeriksaan terhadap rumah suspek di Kampung Berembang di sini dan turut menemui lebih 20 keping surat pajak gadai.

"Siasatan mendapati kesemua barang kemas yang digadai suspek bernilai RM24,560 dan suspek mengaku barang kemas yang digadai itu adalah hasil samun dan ragut yang dilakukannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain