suria

Syarikat Malaysia Tidak Perlu Risau Keselamatan Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia tidak perlu risau dalam soal keselamatan kerana adanya beberapa syarikat swasta di republik itu yang bukan sahaja menjadi jambatan penghubung malahan pelindung kepada peniaga Malaysia.

Katanya, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sendiri turut memberi jaminan keselamatan lebih ketat terhadap rakyat Malaysia di sana.

"Semua peniaga dan pelabur sama ada dari Indonesia atau Malaysia boleh jalankan perniagaan tanpa risau. Bukan sahaja kedua-dua kerajaan malahan syarikat swasta yang memainkan peranan sebagai jambatan untuk melindungi dan juga mengeratkan persahabatan kedua-dua negara.

"Polis Republik Indonesia (POLRI) begitu juga Presiden Susilo telah memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat kita. Sama juga dengan kita yang akan memastikan keselamatan rakyat mereka di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar SMI 1-Stop Solution di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan penarikan diri beberapa syarikat Malaysia daripada terus beroperasi di Indonesia berikutan gerakan anti-Malaysia dilancarkan oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di negara berkenaan baru-baru ini.

Kohilan berkata, Isnin lepas, pihak Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) telah menghantar memo kepadanya bagi menyatakan sokongan terhadap Malaysia selain mengkritik perbuatan Bendera.

"Hubungan kedua-dua negara akan terus terjalin meskipun terdapat beberapa ancaman termasuk Bendera. Pada Isnin lepas, Permai telah menghantar memo kepada saya menyatakan sokongan kepada kita selain turut membidas perbuatan yang dilakukan oleh pihak Bendera di sana (Indonesia)," katanya.

Katanya, Permai turut mengadakan majlis makan malam hari ini yang dinamakan "Titian Kasih" di Kedutaan Republik Indonesia di sini bagi mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara.

Seminar tiga hari yang bermula Rabu lepas menghimpun hampir 80 tokoh Industri Kecil dan Sederhana (SMI) dari seluruh negara. Seminar itu dengan tema "Mentransform SME, Meningkatkan Rantaian Nilai" bertujuan memaparkan pelbagai solusi dan produk SME di bawah satu bumbung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain