suria

Provokasi Cabar Undang-Undang Boleh Akibatkan Keselamatan Negara Terancam - Raja Dr Nazrin

TAIPING: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah negara boleh dirampas oleh kumpulan yang berpegang kepada budaya rimba yang mana kemenangan hanya berpihak kepada siapa kuat dan ramai, jika kebenaran diasaskan daripada keberanian tidak bertempat sehingga melakukan provokasi mencabar undang-undang.

Baginda bertitah keselamatan negara dan ketenteraman awam akan terancam serta tergugat jika undang-undang tidak dihormati selain tugas penguatkuasa undang-undang dicabar.

"Jika warga gagal diterapkan dengan nilai-nilai betul untuk mendaulatkan undang-undang, dibimbangkan negara akan berakhir dengan anarki. Kekuatan amalan demokrasi hendaklah berpaksikan kepada undang-undang yang didaulatkan," titah baginda pada Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah di sini hari ini.

Baginda bertitah budaya menghormati undang-undang dan penguatkuasaannya mencerminkan tahap disiplin yang berjaya dipupuk dan diterapkan di kalangan warga sesebuah negara.

Elemen disiplin tidak harus dikompromikan dalam membina kekuatan warga dan kegemilangan budaya sesebuah negara bangsa, titah baginda.

"Melentur hendaklah semasa rebung. Oleh itu, penyemaian disiplin hendaklah bermula dari permulaan hayat, bermula dari saat anak masih dalam kandungan, disemai rapi di dalam keluarga disuburkan di alam sekolah diperkukuhkan di alam kerja," titah baginda.

Raja Dr Nazrin turut mengimbas beberapa insiden yang menimpa anggota penguatkuasa seperti yang berlaku di Kuala Terengganu pada 16 September lepas apabila seorang anggota polis dilanggar dan diserang oleh dua remaja ketika anggota tersebut menjalankan operasi pencegahan jenayah dan lumba haram.

"Kejadian-kejadian yang berlaku ini, nyata memperlihatkan perilaku remaja yang sama sekali tidak menghiraukan undang-udang malah telah mencapai peringkat, berani tidak bertempat, melakukan provokasi, mencabar pihak berkuasa," titah baginda.

Baginda melahirkan kekhuatiran jika penyemaian budaya disiplin yang menjadi komponen penting pendidikan bagai mula dipinggirkan.

"Penunjuk sama ada elemen disiplin diberikan keutamaan oleh sesebuah institusi dapat dibaca daripada keadaan fizikal institusi dan keterampilan warga di dalam institusi tersebut.

"Jika bangunan institusi kelihatan usang, silingnya bersawang, perabotnya berdebu, tingkap-tingkapnya pecah tidak dibaiki, sampah di sana sini, rumput dan lalang yang panjang, longkang tersumbat dan tandasnya kotor, ia memperlihatkan bahawa kepimpinan institusi berkenaan telah terlalu banyak berkompromi dalam aspek disiplin," titah baginda.

Institusi pendidikan berbentuk sekolah, tidak boleh sama sekali berkompromi dalam soal disiplin sebaliknya ia perlu dijadikan agenda utama dalam mengasuh anak didik serta dalam melakukan penilaian terhadap tahap pencapaian atau penarafan sesebuah sekolah, titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah jika anak didik telah didedahkan dengan nilai yang salah, apabila mereka tamat pengajian dan diberikan tanggungjawab, mereka akan menerima pakai nilai salah sebagai norma dan ia akan menjadi penyebar nilai yang salah dan tabiat yang buruk itu.

Baginda turut bertitah ketegasan sekolah dan guru perlu diberi sokongan di mana ibu bapa serta masyarakat tidak seharusnya terlalu melatah menyalahkan guru yang cuba memperkenalkan disiplin.

"...kerana sifat terlalu cepat menyalahkan guru akan mengakibatkan para guru mengambil pilihan menjauhkan diri dari mengambil tanggungjawab untuk membantu mendisiplinkan pelajar. Negara tidak akan aman dan warga tidak akan tenteram, jika generasi di hari muka sudah tidak memiliki disiplin, mengetepikan undang-undang dan berani melakukan provokasi mencabar penguat kuasa undang-undang," titah baginda.

Pada majlis itu, Raja Dr Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Pelajar Terbilang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 kepada Noor Azdayanti Ahmad, Anugerah Khas Pelajar Cemerlang Bahasa Antarabangsa kepada Mohamad Adam Mohamad Saladri (bahasa Perancis), Faiznur Abdul Rahman (bahasa Jepun) dan Muhammad Rasydan Ahmad Nazri (bahasa Arab) serta anugerah lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain