suria

Polis Tunggu Laporan Penuh Siasatan Kes Salah Laku Anggota

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu laporan penuh siasatan kes salah laku 10 anggotanya berhubung kes rampasan dadah seberat 753 kilogram bernilai RM254 juta di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pada ketika ini polis sedang melakukan siasatan menyeluruh kes terbabit, termasuk menimbang untuk menggantung kerja 10 anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor itu.

"Nanti dulu, jangan terburu-buru (untuk gantung kerja). Kita masih lagi menyemak semula perkara ini. Kita tengok laporan lengkap dulu, kemudian barulah kita boleh putuskan apa-apa."

"Saya akan tengok secara menyeluruh perkara ini, tidak melihat secara individu sahaja," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil mengikut keperluan dan penelitian oleh Kementerian Dalam Negeri, iaitu mendakwa mereka mengikut Kanun Keseksaan.

Ismail mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan atas tuduhan mengedar dadah yang bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir semasa menjatuhkan hukuman tersebut pada Rabu lepas turut berkata mahkamah dimaklumkan terdapat laporan bahawa beberapa anggota polis mengaku mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram daripada dadah yang dirampas itu.

Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan polis, dan mereka yang melakukan salah laku itu perlu dikenakan hukuman berat daripada hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia, iaitu hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.

Ismail berkata, dengan pendedahan kes sebegini, jelas menunjukkan PDRM masih perlu lagi memantapkan integritinya sebagai sebuah pasukan yang adil dan telus dalam setiap siasatannya.

"Apa yang penting, saya runsing melihat dari sudut elemen, disiplin polis, integritinya. Sejak jadi Ketua Polis Negara ini, agenda saya antara lain berkait dengan integriti kerana seolah-olah ada lagi (segelintir) polis berkelakuan demikian. Maknanya kita perlu cari jalan lain untuk terus mengintegritikan PDRM," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain