suria

Melaka Alukan Input Rosmah Untuk Tambah Baik Sekolah Harapan

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik input daripada Datin Seri Rosmah Mansor untuk menambah baik Sekolah Harapan di sini bagi remaja hamil luar nikah yang telah dibuka pada 17 September lepas. Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Kerajaan Negeri terharu dengan cadangan isteri Perdana Menteri itu untuk mencari input terbaru bagi membantu remaja hamil luar nikah dan kerajaan negeri sedia untuk membantu beliau dalam apa cara sekalipun untuk memastikan usaha murni itu tercapai.

"Lawatan Datin Seri ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Belgium pada 5 Oktober ini sudah tentu akan membantu kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menangani gejala sosial.

"Kita inginkan input Datin Seri terutamanya berkenaan pusat itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Melaka Maju 2010 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru di sini, hari ini.

CIG diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan Belgium menempatkan remaja hamil luar nikah untuk mengelakkan kejadian tidak diingini seperti pembuangan bayi dan pengguguran.

Katanya, sehingga kini Sekolah Harapan di Jasin itu mempunyai 10 pelajar, seorang daripadanya bukan Islam.

Kesemua mereka berumur 17 tahun, kecuali seorang berusia 16 tahun.

Mengulas mengenai Melaka Maju 2010 beliau berkata kemajuan tidak diukur hanya pada ketinggian pencakar langit yang dibina tetapi juga pada sejauh mana keberkesanan pembangunan modal insan di sesebuah negara atau negeri itu.

Beliau berkata di Melaka sendiri sebanyak 40 peratus daripada mereka yang berumur antara 17 dan 23 tahun memiliki kelulusan Diploma dan keatas tetapi masalah sosial masih membelenggu perkembangan minda dan kehidupan mereka.

Mohd Ali berkata selain masalah sosial, Melaka Maju 2010 juga menumpukan untuk mengatasi masalah seperti sampah di mana Kerajaan Negeri akan memperkuatkan program kitar semula yang kini hanya berada pada tahap lima peratus sampah dikitar semula.

Pengisytiharan Melaka Maju 2010 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober ini tepat jam 8.10 malam menerusi sidang video dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Satu majlis sambutan di Stadium Hang Jebat pada masa yang sama akan dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, Mohd Ali dan 50,000 penduduk negeri ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain