suria

Khalid Minta Anggota Pamer Kematangan Pada Pemilihan Cabang Kuala Selangor Esok

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor mempamerkan kematangan pada proses pemilihan cabang itu esok.

Abdul Khalid yang akan mempertahankan jawatan ketua cabang pada pemilihan itu berkata beberapa persediaan telah dibuat bagi memastikan kekecohan semasa pemilihan di Cabang Kapar, Klang dan Kota Raja pada minggu lepas tidak berulang.

Kematangan perlu ditunjukkan oleh anggota dan kepimpinan bagi meraih keyakinan rakyat bahawa parti mampu menerajui negara satu hari nanti, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tajaan kerajaan negeri kepada 184 pelajar program kemahiran sijil teknikal di INPENS International College di sini hari ini.

Pemilihan Cabang PKR Kuala Selangor yang akan berlangsung di Stadium Tertutup di sini menyaksikan Abdul Khalid akan ditentang oleh bekas Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mazli Saring dan bekas guru Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

Selain pemilihan, katanya mesyuarat agung peringkat cabang, Angkatan Muda dan Wanita akan turut diadakan esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain