suria

KDN Teliti Untuk Dakwa 10 Anggota Polis Terlibat Curi 40Kg Dadah - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti kes salah laku 10 anggota polis berhubung kes rampasan dadah seberat 753,539 kilogram bernilai RM254 juta di dalam sebuah lori di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas, untuk didakwa mengikut Kanun Kesesakan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau bersetuju dengan cadangan Majlis Peguam Negara supaya kes itu didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

"Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) pun telah membuat kenyataan tegas untuk menyiasat kes itu secara menyeluruh. Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani juga sedang menunggu keputusan penolong pendakwa raya," katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri kementerian itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Hishammuddin berkata perkara ini perlu dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana jelas ia boleh menjejaskan integriti dan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata masyarakat, yang pastinya mengharapkan ketelusan dalam setiap siasatan.

"Perlu sesuatu tindakan diambil, walaupun terhadap pegawai kita sendiri. Ini penting. Kita mahu rakyat yakin, bukan sahaja dengan kemampuan PDRM tetapi juga dapat lihat mereka yang mungkin segelintir, yang tidak jalankan tanggungjawab mereka juga diambil tindakan tegas," katanya.

Hishammuddin mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam atas tuduhan mengedar dadah yang bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir semasa menjatuhkan hukuman tersebut pada Rabu lepas turut berkata mahkamah dimaklumkan terdapat laporan bahawa beberapa anggota polis mengaku mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram daripada dadah yang dirampas itu.

Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan polis, dan mereka yang melakukan salah laku itu perlu dikenakan hukuman berat daripada hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka oleh PDRM, iaitu hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.

Hishammuddin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengaitkan isu kes berprofil tinggi yang berlaku di dalam negara ini dengan perkauman kerana ia boleh memecahbelahkan agama, bangsa dan negara.

Menyentuh mengenai kes jenayah berprofil tinggi seperti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, dan "Namewee yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam posting di You Tube," Hishammuddin berkata: "jangan dipolemik sesuatu yang boleh pecah-belahkan kita."

"Tak boleh kata dimonopoli orang Melayu, Cina dan agama-agama tertentu. Dalam hal sebegitu rupa, jangan kita polemikkan sesuatu yang boleh pecah belahkan kita.

"Dalam kes berprofil tinggi ini juga, kita cepat dalam tindakan, kita lakukannya secara profesional, (seperti) yang rakyat mahu, dan kita mahu ia disiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih, secara efisien, profesional dan adil," katanya.

Beliau juga berkata kadang kala siasatan kes berprofil tinggi melibatkan pelbagai agensi iaitu kesalahan berkaitan dengan teknologi maklumat seperti paparan di You Tube adalah di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan memerlukan nasihat teknikal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain