suria

Pendekatan Lebih Holistik Dalam Menangani Isu Buang Bayi - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Sosial Negara hari ini memutuskan bahawa pendekatan lebih holistik perlu dalam usaha untuk menangani masalah pembuangan bayi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju supaya pelan tindakan yang lebih komprehensif akan dilaksanakan secara bersepadu antara kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Institusi penting keluarga dan masyarakat juga perlu diperkukuhkan untuk menerapkan nilai murni dan etika serta kefahaman dalam pendidikan agama supaya dapat membantu masalah itu dalam jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai pendidikan seks di sekolah yang dianggap sebagai satu inisiatif jangka pendek dan panjang dalam memberikan kefahaman lebih tepat di kalangan generasi muda terutama di peringkat sekolah.

"Projek perintis sudah dimulakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pelajaran dan hasilnya nampak amat memberangsangkan," katanya.

Muhyiddin berkata jawatankuasa teknikal mengenai pendidikan seks di sekolah sedang menilai cara terbaik sekiranya program tersebut hendak diperluaskan ke seluruh negara.

Selain itu katanya, mesyuarat turut memutuskan untuk menubuhkan sebuah pusat sehenti bertujuan membantu golongan gelandangan.

Beliau berkata pusat yang akan diwujudkan di Kuala Lumpur itu dijadual siap pada November tahun ini dan boleh menempatkan kira-kira 76 orang.

"Pusat itu ditubuhkan bagi menangani isu membabitkan golongan itu serta memberikan perlindungan sementara supaya selepas itu mereka boleh berdikari.Buat masa ini ia hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur," katanya Timbalan Perdana Menteri berkata dalam pada itu semua kerajaan negeri diminta memantau masalah itu di peringkat negeri masing-masing terutama di kota-kota besar dan mengambil langkah perlu.

Mesyuarat katanya, turut memutuskan untuk meneliti situasi kes golongan berkenaan daripada aspek latar belakang, mengenal pasti punca serta langkah sesuai yang boleh diambil untuk menangani masalah itu bagi jangka masa panjang.

Muhyiddin berkata keberkesanan Dasar Sosial Negara juga akan dikaji semula memandangkan situasi dalam negara sekarang adalah dinamik, berubah dengan cepat serta pantas maka terdapat keperluan untuk wujudkan satu Model Baru Sosial.

"Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati kesejahteraan dari segi sosial. Jadi langkah perlu dimulakan untuk merintis jalan kepada model baru itu selaras dengan perubahan masa," katanya.

Beliau berkata ini bermakna kerangkanya perlu dirumuskan sekarang dan jika perlu satu makmal khusus akan ditubuhkan bagi mengkaji segala aspek yang difikirkan sesuai untuk diambil kira dalam merangka model tersebut.

"Diharapkan ia dapat dimulakan segera, kalau tidak awal tahun depan mungkin pertengahan tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain