suria

Pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir Dilanjut Sehinnga 9 Oktober

KUALA LUMPUR: Pementasan teater muzikal Tun Mahathir di Istana Budaya di sini, dilanjutkan selama lima hari lagi sehingga 9 Oktober ini berikutan sambutan orang ramai yang menggalakkan terhadap kisah negarawan itu.

Ketua Pengarah Istana Budaya Mohd Juhari Shaarani berkata teater itu mencatatkan satu fenomena baru apabila tiket-tiket pementasan, termasuk pada hari yang pada mulanya dijadualkan sebagai hari terakhir 4 Oktober ini, habis dijual.

"Teater ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, sehingga malam ketujuh semalam, kira-kira 9,800 penonton menghadiri pementasan ini dan masih ada yang bertanyakan sama ada masih ada tiket lagi atau tidak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata lanjutan tarikh pementasan itu juga dibuat atas cadangan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk memberi peluang kepada lebih ramai penonton menyaksikan persembahan teater itu.

Mohd Juhari berkata tiket-tiket untuk pementasan dari 5 hingga 9 Oktober sudah mula dijual sejak Rabu dan orang ramai dinasihati segera mendapatkannya sebelum habis.

"Persembahan bagi tarikh 5 dan 9 Oktober sudah habis dijual, jadi orang ramai harus cepat supaya tidak terlepas untuk menonton teater ini," katanya.

Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150.

Naskah yang menceritakan perjalanan kisah hidup bekas Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad itu mula dipersembahkan di Istana Budaya pada 24 Sept lepas.

Teater arahan Rosminah Tahir dan ditulis Ismail Kassan itu mengetengahkan sisi lain kehidupan Bapa Pemodenan Malaysia, yang tidak diketahui ramai seperti ketika zaman kanak-kanaknya yang minat berniaga dengan menjual belon dan minuman di Pekan Rabu, Alor Star, Kedah.

Ia turut memaparkan perjalanan politik Dr Mahathir atau Che Det sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri sehinggalah babak yang membuatkan penonton sedih dan hiba apabila beliau bertekad untuk meletak jawatan di dalam kerajaan dan Umno.

Teater sepanjang dua jam setengah itu menampilkan Esma Daniel serta Zizan Nin sebagai pelakon utama yang melakonkan watak Dr Mahathir, dan Erra Fazira yang melakonkan watak isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain