suria

Notis Awam Jangan Terpedaya Tawaran Ah Long Ditampal Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur Azizah Mahamud pada Jumaat, mengesahkan bahawa satu notis awam mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran peminjam wang tidak berlesen bagi tujuan bayaran ikat jamin di tampal di setiap lokasi mahkamah.

Azizah berkata penampalan notis berkenaan bertujuan memberi kesedaran dan maklumat kepada pihak-pihak terlibat dalam kes jenayah bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa peminjam wang tidak berlesen seperti ah long.

"Notis itu mula ditampal di semua lokasi mahkamah sejak minggu lepas, dan notis sama turut diarahkan ditampal di seluruh mahkamah di Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini.

Mengikut surat pekeliling bertarikh 25 Ogos 2010 yang dikeluarkan oleh Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya, Istana Kehakiman Putrajaya, arahan untuk meletakkan notis awam di papan notis mahkamah untuk berhati-hati dengan tawaran peminjam wang tidak berlesen dan kegiatan "mencari pelanggan" harus ditampal di kesemua papan notis mahkamah bagi mengelakkan orang awam terpedaya dengan tawaran itu.

Antara perkara yang terkandung dalam notis awam itu adalah orang ramai diingatkan bahawa aktiviti peminjaman wang tidak berlesen merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan mana-mana ah long bagi tujuan mendapatkan wang jaminan atau meminta mana-mana ah long menjadi penjamin.

Azizah berkata pihak mahkamah telah mengesan beberapa kegiatan "mencari pelanggan" oleh individu-individu tidak bertanggungjawab menawarkan kepada orang ramai khidmat untuk menyelesaikan kes-kes di mahkamah dengan bayaran tertentu.

Notis itu memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima sebarang tawaran seumpamanya kerana pihak mahkamah tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk menyelesaikan mana-mana kes bagi pihak mahkamah.

Azizah meminta orang ramai melaporkan segera kepada pihak mahkamah atau polis sekiranya ditawarkan perkhidmatan sedemikian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain