suria

Mugilan Hormati Keputusan Samy Vellu Lepaskan Jawatan

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan berkata beliau menghormati keputusan Datuk Seri S. Samy Vellu untuk melepaskan jawatan Presiden MIC pada Januari depan.

Mugilan turut menasihatkan semua peringkat anggota parti itu agar tidak mendesak atau membuat serangan lisan terhadap pemimpin itu.

"Keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri membuktikan beliau telah bersedia untuk memahami perasaan dan sungutan orang ramai yang mahu beliau berundur dari MIC. Saya percaya ribuan kaum India yang dipecat dari MIC akan menyertai semula parti itu sebaik Samy Vellu berundur," katanya kepada Bernama.

Beliau mendakwa Samy Vellu telah memecat lebih 100,000 ahli MIC sejak 30 tahun lepas.

Ditanya adakah keputusan Samy Vellu itu adalah sebahagian dari kejayaan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang diketuai oleh beliau pada 22 Mei lepas, Mugilan berkata: "Saya tidak kata 100 peratus kejayaan GAS tetapi pada keseluruhannya ia adalah kejayaan komuniti India dan rakyat Malaysia."

Samy Vellu memecat Mugilan dari MIC awal tahun ini kerana bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Mugilan berkata beliau akan mendapatkan pandangan pemimpin MIC dan anggotanya sebelum membuat keputusan sama ada untuk kembali menyertai parti itu sebaik Samy Vellu meletakkan jawatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain