suria

Keputusan Samy Vellu Bakal Wujudkan Era Baru Kepada MIC - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Datuk Seri S. Samy Vellu meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC pada Januari depan, bakal mewujudkan era baru kepada parti itu yang akan terus berperanan menjadi rakan penting dalam Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Umno itu berkata beliau percaya keputusan Presiden MIC itu sekaligus meningkatkan keyakinan masyarakat India terhadap perjuangan BN yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab parti tersebut.

"Saya percaya beliau pastinya sudah pun membuat penilaian berdasarkan perkembangan yang berlaku dalam MIC. Kita sedar beliau adalah antara tokoh politik yang cukup berpengalaman dan telahpun memberikan khidmat kepada parti dan kerajaan dengan cukup baik," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sosial Negara.

Muhyiddin berkata Samy Vellu pastinya telah mengambil kira pandangan daripada pemimpin MIC dan masyarakat India dalam membuat keputusan itu demi kebaikan MIC sekaligus membantu memperkukuhkan BN.

Semalam, Samy Vellu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai orang nombor satu parti itu pada Januari depan sekali gus menjawab teka-teki yang berlanjutan dalam pelan peralihan kuasa MIC.

Menurutnya langkah itu sebagai memberi peluang kepada timbalannya Datuk G. Palanivel untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang selaku Presiden MIC.

Samy Vellu, 74, adalah pemimpin paling lama pernah memegang jawatan tersebut apabila menjadi Presiden MIC selama 31 tahun.

Muhyiddin berkata, peletakan jawatan Samy Vellu pada Januari nanti amat baik kerana membolehkan pemimpin sedia ada meneruskan khidmat cemerlang yang telah dilaksanakannya malah mungkin lebih baik.

"Saya fikir beliau seorang yang amat faham dalam situasi politik dan dari sudut yang lain bahawa beliau mahu MIC menjadi rakan yang penting dalam BN.

"Sekali gus langkah itu memberikan ruang dan peluang kepada pemimpin muda untuk menerajui MIC di masa akan datang khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum (akan datang)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain