suria

Kabel Putus, Empat Cedera Lif Jatuh Dari Tingkat Enam

PETALING JAYA: Empat cedera apabila kabel sebuah lif yang dinaiki mereka terputus sebelum terjatuh dan terhempas dari tingkat enam di Blok A, Flat Impian Baiduri, di sini, Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, keempat-empat mereka iaitu Rahim Yunus dan isterinya Zarinah Jaafar bersama dua pelajar S. Kugahan, 14, dan Azizah Ermonchatib, 13, menaiki lif tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing.

Mengulas kejadian itu kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, Rahim berkata lif tersebut berhenti di tingkat enam sebelum Kugahan menekan butang tingkat lima berulang kali.

"Tetapi butang seakan tidak berfungsi menyebabkan dia tekan banyak kali sebelum tiba-tiba lampu terpadam dan lif terjunam ke bawah," kata Rahim yang juga seorang anggota bomba.

Kesemua mereka diselamatkan 20 minit kemudian oleh penyenggara bangunan dan pasukan bomba.

Rahim berkata dia mengalami retak ibu jari kaki kanan manakala isterinya Zarinah, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Utama mengalami kecederaan di pinggul dan siku kiri.

Azizah pula mengalami kecederaan di belakang badan dan Kugahan patah kaki. Kesemua mereka kini dirawat di PPUM dan dilaporkan stabil.

Tinjauan di Blok A, flat 17 tingkat tersebut mendapati hanya dua daripada tiga lif berfungsi termasuk lif tersebut.

Pengerusi jawatankuasa penduduk blok tersebut Tambi Chik Hassan mendakwa penduduk telah banyak kali membuat aduan mengenai masalah lif yang sering kali rosak sejak beberapa bulan lepas.

"...tetapi aduan kepada pihak pengurusan flat seperti diabaikan apabila tiada sebarang tindakan pembaikan diambil. Mereka sering menjadikan alasan masalah kewangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana penduduk membayar yuran senggara sebanyak RM50 sebulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain