suria

Tren Elektrik (ETS) Seremban - Sungai Buloh Atasi Kesesakan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang sekarang beroperasi bagi laluan Kuala Lumpur – Ipoh akan digunakan untuk laluan Seremban ke Sungai Buloh bermula 4 Oktober ini.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan berkata, langkah itu bertujuan mengatasi kesesakan penumpang pada waktu puncak bagi laluan berkenaan. Ia bagaimanapun hanya bersifat sementara.

“ETS itu akan beroperasi seperti tren komuter yang lain bermula pukul 6.15 pagi bagi laluan Seremban, Kajang, Kuala Lumpur dan Sungai Buloh. Bagaimanapun kemudahan itu hanya untuk satu perjalanan sehari sahaja," katanya kepada mStar Online pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran KTMB di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai aduan penumpang komuter berhubung perkhidmatan tren yang sering tergendala sehingga menyebabkan kesesakan penumpang pada waktu puncak.

Menurut Aminuddin, untuk jangka masa panjang, KTMB akan memperoleh 38 koc Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU) baru dari China dan akan diterima secara berperingkat-peringkat sehingga Disember 2011. Ia akan beroperasi setahun selepas itu.

Sementara itu mengenai harga tiket promosi ETS iaitu RM30 sehala bagi laluan Ipoh ke Kuala Lumpur yang dikatakan mahal, Aminuddin berkata kadar itu adalah berpatutan.

Katanya, jarak perjalanan itu adalah lebih jauh jika dibandingkan perjalanan dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan Express Rail Link (ERL) iaitu dari RM35 sehingga RM45 pada kelajuan maksimum yang sama iaitu 160 kilometer sejam.

Menurutnya, buat masa ini harga tiket promosi ETS yang ditawarkan sehingga Februari tahun hadapan akan dinaikkan daripada RM30 kepada RM50 sehala sebaik tempoh promosi tamat.

Artikel Berikut

Artikel Lain