suria

Remaja Lemas Di Tali Air Di Kuala Nerang

KUALA NERANG: Mayat seorang remaja yang dipercayai mati lemas akibat tergelincir ke dalam tali air dan dibawa arus deras di Kampung Bendang Pet, Naka dekat sini 7 malam semalam ditemui pagi tadi.

Mayat Mohammad Aidil Azizan, 19, dari Kampung Bendang Tok Teri ditemui kira-kira 8.30 pagi oleh orang-orang kampung yang menyertai gerakan mencari dan menyelamat selepas hampir 13 jam dia dilaporkan hilang.

Mayat mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.

Mangsa dan tiga rakannya dilaporkan memukat ikan bersama tiga rakannya di kawasan sawah di kampung tersebut.

"Sewaktu sedang asyik memasang pukat, rakan-rakan Mohammad Aidil tiba-tiba menyedari kehilanganya dari pandangan mereka," kata Ketua Polis Padang Terap, Deputi Supritendan (DSP) Ku Yaacob Ku Hamad.

Beliau berkata rakan-rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa yang seterusnya membuat laporan di Balai Polis Naka.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati lemas, katanya.

Paras air di tali air itu adalah dalam berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Padang Terap serta penduduk kampung membuat gerakan mencari dan menyelamat sehingga tengah malam tadi dan diteruskan hingga 8 pagi ini.

Bapa remaja berkenaan, Azizan Zakaria, 48, ketika ditemui di Hospital Kuala Nerang berkata beliau bergegas ke tempat kejadian untuk mencari anaknya selepas diberitahu kira-kira 7.20 malam.

"Saya bersuaha mencari Mohammad Aidil sehingga pukul 3.30 pagi ini, tetapi tidak menemuinya. Dia jarang keluar memukat ikan tetapi saya tidak tahu mengapa semalam dia pergi ke sana," kata Azizan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain