suria

Polis Jamin Siasatan Terperinci Kes Salah Laku Anggota

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan ke atas kes salah laku 10 anggotanya berhubung kes rampasan dadah bernilai RM254 juta di dalam sebuah lori di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas.

Katanya, beliau telah mengarahkan agar siasatan dalaman dapat dijalankan secara terperinci dan tindakan diambil ke atas mereka.

"Siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi," katanya pada sidang berita di Bukit Aman di sini, Khamis.

Beliau mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam atas tuduhan mengedar 753 kilogram syabu bernilai RM254 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman,Datuk Akhtar Tahir berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Menurut Akhtar, mahkamah juga dimaklumkan mengenai satu laporan palsu telah dibuat oleh pengadu selain pengakuan beberapa anggota polis yang mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram.

Ismail berkata, beliau kecewa dengan apa yang berlaku kerana kes tersebut telah mendapat pendedahan yang baik tentang kejayaan polis namun akhirnya merugikan apabila ia gagal dibuktikan di mahkamah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun mengesahkan seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib berhubung kes tersebut.

Antara yang dikenakan tindakan tersebut ialah seorang pegawai cawangan narkotik berpangkat Inspektor manakala sembilan lagi merupakan anggota yang menjalankan tugas-tugas am.

"Setakat ini, kesemua anggota dan pegawai terlibat telah diberi amaran dan pergerakan gaji mereka telah digantung. Semua tindakan tersebut telah diambil sebelum kes dibicarakan," katanya.

Othman berkata, siasatan dalaman pihaknya mendapati berlaku kejadian pecah amanah dalam kes tersebut selain pegawai penyiasat yang tidak cekap ketika menjalankan tugas. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain