suria

Perhalusi Dasar Pembayaran PTPTN Melalui Pemotongan Gaji

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertimbangkan semula dasar pembayaran pinjaman PTPTN melalui potongan gaji agar ia dibuat mengikut kemampuan kewangan peminjam.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pelaksaaan dasar yang dibuat secara mengejut ini sedikit sebanyak membebankan golongan siswazah.

"Dasar yang dibuat ini tidak seharusnya memukul rata seluruh siswazah dengan mewajibkan kepada semua dengan kadar yang sama memandangkan setiap siswazah mempunyai latar belakang kewangan dan gaji berbeza," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata kerajaan seharusnya menetapkan kadar gaji minimum yang layak untuk dipotong terlebih dahulu sebelum potongan dibuat.

"Permotongan perlu dibuat berdasarkan kedudukan kewangan terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga susah, keadaan ini akan merumitkan peminjam memandangkan mereka tergolong dalam berpendapatan di bawah paras minimum.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebelum ini pemotongan gaji dijangka dilaksanakan pada 2013.

Muhammad Faisal berkata PKPIM bersetuju dengan dasar baru tersebut tetapi berharap PTPTN bersedia untuk menghapuskan sebarang bentuk caj termasuk caj perkhidmatan pada kadar satu peratus.

"Ini kerana terdapat siswazah yang terbeban membuat pembayaran ansuran bulanan hanya untuk membayar caj bunga tanpa mengurangkan walau sedikitpun jumlah hutang sebenar," katanya.

Beliau berkata PTPTN harus memberi penerangan yang jelas kepada peminjam bagi mengelakkan sebarang salah faham antara peminjam dan PTPTN. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain