suria

Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan

LUMUT: Seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta maut dalam kemalangan jalan raya di Ayer Tawar dan Lekir dekat sini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata dalam kejadian pada pukul 12.55 tengah malam tadi, seorang penunggang motosikal, S.Ganesan maut selepas motosikalnya dirempuh oleh sebuah kereta di Kilometer 10 Jalan Sitiawan-Ayer Tawar.

Beliau berkata Ganesan yang dikatakan dalam perjalanan dari arah Sitiawan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta semasa beliau hendak membuat pusingan 'U'.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata ekoran kejadian itu polis sedang berusaha mengesan pemandu kereta bernombor AFF 3090 bagi membantu siasatan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Insp Muhammad Ikhwan Abdul Hamid dengan menelefon 012-9787906 atau terus ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu.

Mohd Jamil berkata kemalangan kedua pula membabitkan pelanggaran antara sebuah kereta dan treler di Batu 10, Lekir, dekat sini pada kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Beliau berkata Muhammad Khairolnazuan Sharuddin, 20, dari Parit 10B, Titi Gantung, Bota, dekat sini, maut, selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler 20 tan yang dalam perjalanan ke Klang, Selangor.

Katanya kejadian berlaku semasa Muhammad Khairolnazuan bersama seorang rakannya sedang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Ayer Tawar.

Mohd Jamil berkata Muhammad Khairolnazuan yang cedera parah di bahagian kepala mati di tempat kejadian manakala rakannya yang mengalami kecederaan serius di kepala dan tangan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain