suria

Mahkamah Admiralti Selesaikan Pertikaian Industri Maritim Dengan Cepat Dan Cekap

KUALA LUMPUR: Mahkamah Admiralti, mahkamah khas untuk mengendalikan tuntutan berkaitan perkapalan dan maritim yang mula beroperasi pada 1 Oktober ini, dijangka menyelesaikan pertikaian industri maritim secara kompeten.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata mahkamah itu terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini akan beroperasi sebagai pusat sehenti untuk menyediakan kemudahan mendapatkan maklumat mengenai penahanan, pembebasan dan penjualan kapal.

Beliau berkata tempoh penyelesaian bagi tuntutan yang difailkan pada 1 Oktober disasarkan dalam sembilan bulan dan tempoh itu setanding dengan Singapura dan Hong Kong manakala semua permohonan yang difailkan berdasarkan kesegeraan akan didengar serta merta dan diselesaikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh difailkan.

Mengharapkan kejayaan Mahkamah Admiralti dalam tempoh terdekat, Zaki berkata mahkamah itu ditubuhkan bertujuan memberikan pilihan kepada pihak-pihak, melalui kebenaran, memastikan semua tuntutan mereka diadili dengan cepat di satu pusat.

"Bagi melancarkan pertumbuhannya, satu jawatankuasa kerja akan ditubuhkan untuk mengkaji hala tujunya. Saya percaya lambat laun, mahkamah ini akan mencapai pertumbuhan signifikan dan mencatatkan reputasi bagi kecemerlangan dan integriti," katanya semasa berucap melancarkan Mahkamah Admiralti di Kompleks Mahkamah itu di sini, Khamis.

Turut hadir Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Md Raus Shariff dan Datuk James Foong.

Zaki berkata buat permulaan, dua Hakim Mahkamah Tinggi Perdagangan P. Nalini dan Anantham Kasinather akan mendengar kes-kes dan Pendaftar Mahkamah Tinggi akan ditugaskan pada setiap masa, malahan di luar masa perniagaan bagi kes membabitkan kesegeraan.

Beliau menegaskan sejak 2007, industri maritim dan Badan Peguam Malaysia telah mengusahakan penubuhan Mahkamah Admiralti, mahkamah yang dikhaskan untuk mengendalikan bidang kuasa berkaitan penghakiman hal ehwal maritim.

Zaki berkata sejak sekian lama, tuntutan berkaitan maritim dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi Bahagian Perdagangan dan penubuhan mahkamah khas seumpama ini (Mahkamah Admiralti) merupakan langkah pertama ke arah penyelesaian pertikaian maritim secara efisien dan cepat.

"Dengan peluasan ketara dalam sektor gas dan minyak dan perkapalan, gesaan bagi penubuhan mahkamah khas ini terus meningkat," katanya.

Antara kes yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Admiralti ialah tuntutan berkaitan transaksi perniagaan dan perdagangan antarabangsa, termasuk perjanjian perkapalan, import dan eksport, pengangkutan barangan mengikut jalan laut, pembinaan, rekaan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal.

Terdapat 65 kes admiralti dan maritim di negara ini yang masih aktif manakala 14 lagi kes tertunggak.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Zaki berkata dengan penubuhan mahkamah itu, ini akan menarik pihak yang mempunyai pertikaian untuk memfailkan kes di Mahkamah Kuala Lumpur dan ini akan mewujudkan perniagaan kepada peguam dalam sektor itu.

Sebagai contoh, katanya apabila pertikaian berlaku di Selat Melaka, kebanyakan pihak pergi ke Mahkamah Admiralti Singapura untuk menyelesaikannya kerana persepsi mereka ialah tuntutan mereka akan diselesaikan dengan efisien dan lebih cepat.

"Diharapkan dengan penubuhan mahkamah ini, kita akan menarik orang untuk datang ke Kuala Lumpur (bagi selesaikan pertikaian), daripada memilih untuk pergi ke Singpura atau Indonesia, dengan cara itu kita akan dapat mewujudkan peluang perniagaan, ini untuk faedah komuniti perniagaan dan meningkatkan ekonomi," katanya.

Ditanya mengenai kriteria bagi klasifikasi kes-kes penting dan perlu disegerakan, Zaki memberikan contoh seperti kemalangan kapal atau jika kapal melakukan kesalahan, serta apabila kapal ditahan, yang memerlukan kes diadili dengan segera.

"Kes-kes ini perlu diselesaikan dengan segera kerana ia (kapal) masuk dan keluar pelabuhan dengan cepat. Jika kapal itu kapal tempatan, tiada masalah tetapi jika membabitkan kapal asing, kelewatan perjalanan akan memberikan impak besar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaki berkata badan kehakiman sedang menguji sistem telepersidangan bagi kes yang telah ditetapkan untuk sebutan atau pengurusan kes bagi kes sivil.

Beliau berkata melalui sistem itu, pendaftar mahkamah akan menghubungi kedua-dua pihak terlibat melalui telefon bagi memaklumkan mengenai status kes sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

Sistem itu yang telah diuji minggu lepas, dijangka akan dapat menjimatkan masa dan kos serta mengurangkan masalah tempat letak kereta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain