suria

Lelaki Bangladesh Maut Kemalangan

KUANTAN: Seorang lelaki Bangladesh maut selepas van jenis Nissan yang dinaikinya terbabas dan melanggar tebing di Kilometer 38 Jalan Lipis-Sungai Koyan dekat Jengka, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohamad Saiful Islam, 24, yang bekerja sebagai buruh maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu van dan seorang lagi penumpang cedera ringan.

Penguatkuasa Tadbir Negeri Pahang, ASP Zainal Abidin Othman berkata, kejadian pada pukul 9.20 malam itu berlaku ketika ketiga-tiga mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis ke Sungai Koyan.

Sementara itu, beliau berkata seorang pekerja swasta, Sharun Kamarudin, 40, terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Sekolah Cina, Kampung Jaya Gading, di sini pada 11.30 pagi semalam.

Zainal Abidin berkata mangsa meninggal dunia pada 6.15 petang semalam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan akibat cedera parah di kepala.

Katanya ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha secara bersendirian dari pusat bandar gagal mengawal kenderaannya dan terbabas sebelum terjatuh di atas jalan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain