suria

Kes Bunuh Aaliyah: Tertuduh Tak Tamat Pengajian

SHAH ALAM: Lelaki Sudan yang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah didapati tidak menamatkan pengajiannya di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan.

Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mardina Saari, 29, berkata, tertuduh, Mohannad Taha Ismail didapati hanya melanjutkan pegajian selama enam bulan dalan kursus peringkat ijazah Bidang Perniagaan Antarabangsa yang bermula pada Februari 2008.

Mardina yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah Kajang, dekat sini memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini Khamis, bagaimanapun tidak dapat memastikan status sebenar tertuduh di IPTS tersebut.

“Dalam rekod yang saya peroleh hanya menyatakan tertuduh meninggalkan pengajian pada Jun 2008. Saya tidak pasti sama ada dia kandas dalam pengajian,” katanya yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin.

Hasrat Alfred untuk mengemukakan rekod tertuduh dibantah oleh peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Mohannad Taha, atas alasan ia harus dilakukan menerusi pihak pentadbiran IPTS terbabit dan bukannya melalui salinan yang diperoleh Mardina.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah kemudiannya berkata, tiada keperluan untuk memanggil pihak IPTS kerana rekod tersebut adalah dicetak daripada komputer.

“Saya rasa adalah jelas bahawa tertuduh pernah belajar di IPTS itu. Mungkin dia kandas dalam pengajian, itu saya tidak tahu.

“Mungkin juga dia dapat menamatkan pengajian dalam masa enam bulan, itu saya juga tidak tahu,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Alim kemudiannya membenarkan rekod itu ditandakan sebagai bahan bukti selepas Alfred menghujahkan bahawa perkara itu adalah perlu bagi menunjukkan bahawa tertuduh bukan lagi bergelar penuntut semasa didakwa melakukan jenayah.

Mohannad Taha, 25, didakwa membunuh Aaliyah Ayman Hussin di Kondominum Venice Hill di Cheras, dekat sini, antara 7.30 dan 8.30 malam, pada 12 Oktober 2009.

Dia yang masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar kini berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan bersambung Jumaat.

Artikel Berikut

Artikel Lain