suria

Dipenjara 25 Tahun Kerana Tikam Teman Wanita 36 Kali

SHAH ALAM: Seorang penyelenggara barangan elektrik tergamak menikam teman wanitanya sebanyak 36 kali sehingga mati menggunakan sebilah pisau hanya kerana mangsa berhasrat untuk memutuskan hubungan dengannya.

Tertuduh, G. Selvaraaj, 26, bagaimanapun hari ini menerima balasan yang setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu, dua tahun lepas.

Hakim Mohtarudin Baki memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu pada 6 Januari 2008.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata tertuduh sangat bernasib baik kerana telah ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan berbanding dengan tuduhan asal, iaitu bunuh.

"Sekiranya kes berjalan penuh dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan fakta kes, mana-mana hakim tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman mati kerana fakta menunjukkan kamu sangat liar dan betapa seksanya mangsa sebelum menemui ajal.

"Daripada kecederaan, jelas kamu mempunyai niat untuk membunuh," katanya sambil menambah tertuduh perlu diasingkan daripada masyarakat untuk satu tempoh yang lama.

Selvaraaj didakwa menyebabkan kematian M. Indra Devi, 22, di sebuah rumah di Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Klang, dekat sini, antara pukul 3.30 dan 4.30 pagi, 6 Januari 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, Indra Devi sempat menghubungi polis apabila melihat teman lelakinya, Selvaraaj cuba memecah masuk ke dalam rumah dalam keadaan mabuk.

Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan mengunci pintu bilik selepas Selvaraaj memecah masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil pintu geriji dan membuka pintu menerusi cermin tingkap yang dipecahkan.

Tertuduh kemudian menyeret mangsa ke bahagian dapur di mana dia telah menggunakan sebilah pisau yang berada di atas sinki untuk menikam mangsa berkali-kali.

Seorang jiran mangsa yang datang ke tempat kejadian kerana mendengar jeritan mangsa melihat Selvaraaj sedang menangis dalam keadaan memangku mangsa yang terbaring.

Seorang anggota polis yang datang ke tempat kejadian kemudian melihat tertuduh sedang menikam dirinya dengan menggunakan pemutar skru.

Selepas dipujuk, Selvaraaj akhirnya memberi kunci rumah kepada polis sebelum ditangkap.

Laporan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa mati akibat pendarahan yang banyak disebabkan tikaman berganda di dada. Selain itu, mangsa juga mengalami kecederaan di leher dan abdomen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Roslan sementara tertuduh diwakili peguam K. Renuka Devi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain