suria

Akta Persaingan 2010 Beri Kelebihan Kepada Pengguna

PUTRAJAYA: Akta Persaingan 2010 yang bakal berkuat kuasa Januari 2012 selain dapat memastikan persaingan sihat dalam pasaran, ia juga akan memberi kelebihan kepada pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, akta itu dilihat mampu memberi perlindungan dan kebaikan kepada pengguna dalam menyediakan kepelbagaian barangan atau perkhidmatan pada harga yang lebih kompetitif.

"Bila ada persaingan yang sihat akan berlaku perang harga, Ini bermakna pengguna mempunyai pilihan sama ada ingin memilih harga yang murah atau sebalikya," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ismail Sabri berkata, akta itu juga mempunyai kelebihan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana kerana syarikat-syarikat besar boleh berpakat untuk menetapkan harga.

Akta tersebut katanya, mengandungi dua larangan utama iaitu pertama larangan terhadap perjanjian antipersaingan seperti aktiviti penetapan harga serta perjanjian pembahagian pasaran.

Kedua ialah larangan terhadap penyalahgunaan kuasa dominan pasaran oleh sesuatu perusahaan dengan menetapkan harga belian atau jualan yang tidak adil atau penjualan barangan atau perkhidmatan di bawah kos.

Ismail Sabri berkata, menerusi akta itu satu Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan yang terdiri daripada sembilan pegawai dan diketuai oleh seorang pengerusi yang akan dilantik oleh Perdana Menteri.

"Penubuhan Suruhanjaya ini bagi memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang persaingan dijalankan dengan telus, teratur serta bebas daripada pengaruh luar," katanya.

Beliau berkata, melalui akta itu mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum sehingga 10 peratus daripada wang pusing ganti syarikat peringkat global. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain