suria

Polis Minta Orang Ramai Beri Kerjasama Selesai Kes Tertunggak

JOHOR BAHARU: Polis hari ini meminta orang ramai memberi kerjasama supaya kes-kes tertunggak yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dapat diselesaikan secepat mungkin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kerjasama orang ramai terutama saksi yang mempunyai maklumat amat penting kerana polis dapat menemui petunjuk baru dalam menyelesaikan sesuatu kejadian.

"Kes-kes yang tertunggak kita kena bagi maklumbalas. Kita perlukan petunjuk baru. Kes yang lama mungkin tiada petunjuk.

"Kalau ada sesiapa yang mempercayai dia adalah mangsa kejadian jenayah atau lain-lain, kalau perlu polis melihat semula kejadian itu, sememangnya kita akan lakukan. Kita tidak terburu-buru dan kita menggunakan kepakaran kita untuk mendapatkan bukti," katanya.

Ismail bercakap kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini. Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Ismail berkata individu yang tidak berpuas hati terhadap siasatan polis perlu berjumpa secara peribadi dengan pegawai atasan yang terlibat berbanding menemui pihak media.

Sebagai jabatan yang mempunyai profesionalisme yang tinggi, polis katanya sentiasa bersifat terbuka dalam memenuhi kehendak rakyat.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya sedang mengkaji mekanisme baru sebagai usaha menangani penyalahgunaan teknologi maklumat termasuk Youtube dan Facebook, akhir-akhir ini.

Beliau berkata perkembangan teknologi yang begitu pantas merupakan cabaran baru dalam bidang kepolisan hari ini.

"Tidak perlu saya beritahu apa mekanisme berkenaan kerana ianya melibatkan cara operasi pihak berkuasa.

"Yang penting polis sedar, kita kena ambil tindakan yang wajar bagi menangani perkembangan teknologi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain