suria

Pekerja Estet Temui Mayat Lelaki

KOTA BARU: Mayat seorang lelaki berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan tertiarap di sebuah estet Kuala Hidung di Kampung Manek Urai, Kuala Krai kira-kira pukul 8.30 pagi ini. Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata mayat berkenaan ditemui oleh seorang pekerja estet berkenaan ketika keluar bekerja pagi tadi.

"Mengikut laporan polis yang diterima, mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan meniarap lengkap berpakaian baju t dan berseluar jeans.

"Hasil pemeriksaan terhadap mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri kecuali dua buah telefon bimbit yang berada berhampirannya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau bagaimanapun berkata seorang lelaki yang mendakwa rakan mangsa hadir membuat pengcaman dan mengesahkan mangsa dikenali sebagai Mohd Suhairi Dunilui, berumur 27 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal terhadap telefon bimbit mangsa mendapati mangsa membuat panggilan terakhir pada 25 September lalu. "Kita percaya mangsa telah mati kira-kira lima hari lalu dan hasil siasatan awal juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada mangsa menyebabkan kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut," katanya.

Mazlan bagaimanapun berkata keputusan itu tertakluk kepada hasil bedah siasat yang sedang dijalankan pihak Hospital Kuala Krai.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Kampung Manek Urai Lama itu dipercayai mempunyai rekod jenayah juvana. - BERNAMA

Artikel Lain