suria

Najib Puji Obama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memuji Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mengambil "pendirian awam berani" dalam menangani Islamophobia, sambil menyatakan bahawa presiden itu berbuat demikian sekalipun sedar "ini mungkin menjadi taruhan dari segi politik beliau".

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, kini masanya bagi presiden AS itu mentadbir urus secara sederhana, yang turut melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan gerakan sosial agar semakin ramai orang dapat melihat betapa pentingnya mengambil pendirian sederhana.

"Jika anda mengambil pendirian ekstremis atau ekstrem, maka anda akan memburukkan lagi keadaan sekarang," kata beliau semasa interbiu dengan Bloomberg pada Isnin di New York.

Najib menjawab pertanyaan mengenai pendirian Obama terhadap seorang paderi di Florida yang merancang membakar Al-Quran sebagai mengingati serangan 11 September.

Paderi itu kemudian membatalkan rancangannya di tengah-tengah beberapa kutukan, termasuk daripada Obama yang berkata ia hanya menguntungkan al-Qaeda tetapi membahayakan askar AS di Afghanistan dan Iraq.

Semasa interbiu enam minit itu, Najib ditanya mengenai beberapa isu termasuk Islamofobia.

Najib berkata: "Ini isu amat penting yang perlu kita tangani kerana akhir-akhir ini kita menyaksikan kemunculan semula, jika boleh saya katakan begitu, atau kebangkitan dari segi memomok Islam atau Islamofobia."

"Terdapat bahaya kita ditekan oleh keadaan ertinya ekstremis dan saya maksudkan bukan hanya ekstremis di kalangan Muslim.

"Ada ekstremis di kalangan Kristian, ekstremis di kalangan Yahudi. Tetapi apa yang penting bagi kita golongan majoriti, kumpulan sederhana -- dan hakikatnya saya membuat seruan lantang -- bahawa perlu ada pergerakan kumpulan sederhana," kata beliau.

Beliau menambah adalah penting "untuk menguasai tanah yang lebih tinggi" dan tidak membiarkan ekstremis memaksakan agenda mereka bagi mempengaruhi kumpulan ajoriti.

Najib kini di New York menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke 65 di samping Sidang Kemuncak Asean-AS.

Semasa ucapannya di sidang kemuncak itu, Najib menyatakan kepada Obama bahawa Malaysia berhasrat membantu AS untuk mengatasi Islamofobia bagi membolehkan masyarakat Amerika lebih memahami Islam dan menghapuskan persepsi negatif terhadap agama itu. - BERNAMA

Artikel Lain