suria

Dua Wanita Iran Bebas Tuduhan Edar Syabu

SHAH ALAM: Dua wanita warga negara Iran dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 38,957 gram di KLIA, Sepang, pada Februari lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan sedemikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mazieh Azimzadehtabriz, 32, dan Hajar Fakri Lasbo, 25.

Kedua-dua wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, pada 10.40 malam pada 5 Februari lepas.

Mazieh, seorang jurulatih kecergasan dan Hajar, seorang pelajar, didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dadah itu dijumpai dalam dua buah beg yang setiap satu dibawa oleh mereka.

Mohtarudin dalam penghakimannya berkata, satu-satunya bukti yang tidak memihak kepada pihak pembelaan ialah fakta bahawa kedua-dua wanita itu masing-masing memegang bagasi mengandungi dadah tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata tag nama di kedua-dua beg itu tidak tercatat nama kedua-dua wanita itu.

Mohtarudin berkata pendakwaan juga gagal mengaitkan kedua-dua wanita itu dengan barangan yang berada dalam kedua-dua beg tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia hadir bagi pihak pendakwaan manakala Mazieh dan Hajar diwakili peguam Hisyam Teh Poh Poh Teik. - BERNAMA

Artikel Lain