suria

Anggota PKR Cabang Baling Ancam Keluar Parti

BALING: Sekumpulan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Baling mengancam akan keluar parti sekiranya kepimpinan PKR negeri Kedah gagal mengambil kira pandangan mereka.

Setiausaha PKR cabang Baling, Mohd Azmi Mohamed Amin, berkata sikap kepimpinan negeri yang tidak mahu menerima pandangan cabang itu akan membawa kepada kehancuran parti.

Beliau berkata, mereka di peringkat cabang juga berasa tidak puas hati kerana campur tangan pihak atasan PKR dalam banyak hal termasuk turut merestui mesyuarat agung tahunan dan pemilihan cabang Baling 2010 pada 24 September lalu.

"Kami hairan bagaimana kepimpinan PKR negeri boleh mengarahkan mesyuarat itu diadakan kerana jelas ia mengetepikan perlembagaan parti," katanya pada sidang akhbar yang dihadiri 20 anggota parti itu di sini hari ini.

Kumpulan berkenaan mendesak pihak pendaftaran pertubuhan dan pucuk kepimpinan pusat PKR berbuat sesuatu sebelum mareka bertindak keluar beramai-ramai daripada parti.

Mohd Azmi berkata beliau turut membuat satu laporan polis pada 25 Sept di Balai Polis Kuala Ketil berhubung mesyuarat agung tahunan dan pemilihan cabang Baling 2010 yang dianggapnya sebagai tidak sah. - BERNAMA

Artikel Lain