suria

Selangor Tidak Setuju Kenaikan Tarif Air, Kata Khalid

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan kenaikan tarif air memandangkan tindakan berkenaan akan menjejaskan kebajikan rakyat, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kerajaan negeri, bagaimanapun mahu kenaikan berkenaan munasabah di mana keuntungan bukan menjadi fakor utama," kata beliau kepada pemberita selepas majlis sampingan pada Sidang Kemuncak Air dan Utiliti Negara 2010 di sini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar harian tempatan bahawa kenaikan tarif air antara 15 peratus dan 20 peratus mungkin dalam pertimbangan bagi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd. Beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding dengan kerajaan persekutuan mengenai proses penyusunan semula air Selangor tetapi pada mesyuarat harga tawaran terus meningkat.

"Secara peribadi saya tidak selesa dengan harga yang tinggi ini," katanya.

Khalid berkata kerajaan negeri mahu mengurus dan mengendalikan industri perkhidmatan air melalui entiti menyeluruh.

"Entiti ini akan kemudiannya menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan efisien kepada rakyat pada kadar tarif yang munasabah," katanya.

Beliau berkata keuntungan yang diperoleh akan disalurkan balik kepada keperluan rakyat melalui infrastruktur berbanding diraih syarikat swasta. - BERNAMA

Artikel Lain